Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Taman Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2023.

BANGI – DAP menggesa agar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang segera bertaubat kerana memfitnah parti itu.

Naib pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, gesaan itu dibuat setelah Abdul Hadi menyebarkan fitnah kepada DAP, khususnya dengan menggunakan retorik kaum dan agama.

Beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Marang yang berbentuk fitnah itu tidak akan berjaya memburuk dan menjatuhkan parti tersebut, khususnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada bulan depan.

“Saya rasa Haji Hadi (Abdul Hadi) perlulah bertaubat kerana fitnah adalah dilarang oleh agama Islam.

“Fitnah demi fitnah tidak akan membantu. Oleh itu, saya berharap dan berdoa supaya beliau kembali ke pangkal jalan,” katanya pada sidang media Program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Tasik Cempaka, hari ini.

Kor Ming diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi pada Ahad lalu yang menyerang DAP menggunakan retorik kaum dan agama, dengan mendakwa parti itu memiliki agenda perkauman Cina serta menyambung usaha penghapusan ketuanan Melayu serta Bumiputera yang dirancang penjajah British.

Abdul Hadi juga mendakwa DAP menggunakan jurubicara dalam kalangan orang Melayu untuk mencapai agenda parti itu, manakala parti lain yang bekerjasama dengan DAP hanya menang dalam pilihan raya kerana menumpang pengaruhnya.

Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sehari sebelum itu, yang mengingatkan semua pihak tidak memainkan isu sensitif, khususnya 3R (agama, bangsa dan raja) ketika berkempen untuk PRN yang akan berlangsung bulan depan.

Susulan itu kelmarin, polis memaklumkan sedang menyiasat Abdul Hadi berikutan kenyataannya mengenai DAP yang disentuh dalam kenyataan Minda Presiden Pas, dengan hasil siasatan awal polis mendapati ia mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman dan boleh mencetus kegusaran awam.

Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuktikan gabungan itu bersih dan tidak terpalit dengan mana-mana dakwaan rasuah.

Katanya, dakwaan bahawa PN adalah gabungan bersih amat berbeza dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzar Hashim yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Saya cabar supaya PN yang kata mereka bersih tapi mahkamah tinggi telah mendapati sebenarnya Ahli Parlimen Pas tidak bersih pun.

“Mahkamah telah mendapati Ahli Parlimen Pas terlibat dalam kegiatan berunsur rasuah termasuk beli undi sehingga kerusi Parlimen Kuala Terengganu dikosongkan. Ini terbukti PN memang tak bersih,” tambah Kor Ming lagi.

Pada Sabtu lalu, Pas tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebagai mana yang dinyatakan peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong yang memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangan Ahmad Amzad itu berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir. – MalaysiaGazette