Lee Chean Chung.- Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi cerita mula menternak ayam penelur bagi kegunaan sendiri sebagai cara mengatasi masalah bekalan telur disifatkan sebagai bankrap idea.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, bekas perdana menteri itu perlu faham bukan semua rakyat mempunyai ruang atau tanah seperti beliau yang boleh menternak 30 hingga 40 ayam penelur.

“Tambahan bukan semua orang boleh menternak ayam sesuka hati seperti Muhyiddin dan tidak disaman oleh pihak berkuasa tempatan.

“Hakikat bahawa Muhyiddin masih melayan isu telur menunjukkan Perikatan Nasional sudah bankrap idea untuk membantu rakyat dan tidak ada isu lain yang boleh dimainkan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu menambah, kenyataan Muhyiddin juga membuktikan usaha kerajaan perpaduan untuk melaksanakan subsidi bersasar adalah tepat.

Katanya, sehingga kini orang kaya seperti Muhyiddin masih menikmati subsidi sama seperti rakyat biasa sedangkan kumpulan itu mampu menjadi penternak di rumah sendiri.

Chean Chung berkata, PN paling lantang menolak idea susbdisi bersasar dan kenyataan Muhyiddin membuktikan PN mempertahankan dasar subsidi untuk orang kaya demi kepentingan diri sendiri.

“Lebih menyedihkan adalah sebagai blok pembangkang yang mempunyai ramai bekas menteri-menteri dan perdana menteri, apa yang dicadangkan adalah menternak ayam sendiri di kebun.

“Sememangnya ini satu sindiran yang cuba dibuat oleh Muhyiddin kepada Kerajaan pada hari ini namun ‘telur’ yang dilontarkan oleh Muhyiddin umpama meludah ke langit, muka juga yang basah,” katanya.

Chean Chung turut mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional tersebut bahawa krisis bekalan telur telah berlaku sejak pentadbiran Muhyiddin.

Kerajaan perpaduan yang ditubuhkan pada November 2022 telah mendapati negara kekurangan 157 juta biji telur ayam di pasaran tempatan pada ketika itu.

Katanya, jika Muhyiddin prihatin masalah rakyat sudah tentu kerajaan pimpinannya buat sesuatu bagi mengatasi isu berkenaan.

Semalam media melaporkan, Muhyiddn mula membela ayam penelor di kebun sendiri bagi mengatasi isu bekalan telur yang masih berlaku.

Katanya, isu bekalan telur adalah sebahagian masalah yang dihadapi rakyat ketika ini selain kos sara hidup, isu harga makanan dan masalah bekalan makanan tidak mencukupi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dia nak cerita orang biasa pun boleh bela ayam sehingga hasil 40 biji telur sehari, tak kan lah kerajaan yang banyak agensi pertanian dan penternakkan tak boleh nak hasil telur sehingga kena import. Daripada bagi lesen import kepada kroni lebih baik buat kilang hasil telur.

    • yeap setuju..daripada import telor dari luar lebih baik tambahkan subsidi pada perternak tempatan dan pantau harga pasaran.penternak tempatan bermasalah sbb makanan ayam kena import . ini dua benda ke import..telor import makanan import ayam import…yg beruntung yg dapat AP import

Comments are closed.