KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia memulih kepada 4.7 peratus pada Mei 2023, disokong oleh momentum positif dalam kesemua sektor, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IPP kembali kepada pertumbuhan positif 4.7 peratus pada Mei 2023 berbanding negatif 3.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Pengembangan pada Mei 2023 adalah didorong oleh peningkatan dalam kesemua sektor, terutamanya sektor pembuatan yang mencatatkan 5.1 peratus (April 2023: -3.0%); perlombongan dengan 2.9 peratus (April 2023: -4.9%); dan elektrik dengan 5.0 peratus (April 2023: -2.0%).

Berbanding bulan April 2023, IPP mengukuh kepada 7.3 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan negatif 10.8 peratus pada April 2023.

Kenaikan 5.1 peratus bagi sektor pembuatan pada Mei 2023 dipacu oleh pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 10.1 peratus dalam industri berorientasikan domestik (April 2023: -2.1%) yang disokong oleh pembuatan kenderaan bermotor, trailer & semi-trailer (16.4%); dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali jentera & peralatan (11.9%).

Begitu juga, industri berorientasikan eksport meningkat sebanyak 2.8 peratus (April 2023: -3.5%) yang didorong oleh kenaikan pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (13.0%); dan pembuatan kok & petroleum bertapis (5.9%).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan positif 7.0 peratus berbanding negatif 11.4 peratus pada April 2023.

Pengeluaran dalam sektor perlombongan meningkat kepada 2.9 peratus pada Mei 2023 yang didorong oleh peningkatan dalam kedua-dua indeks minyak mentah & kondensat dan gas asli masing-masing sebanyak 0.6 peratus dan 4.5 peratus.

Berbanding bulan sebelumnya, indeks perlombongan berkembang 7.6 peratus berbanding penyusutan 10.7 peratus yang direkodkan pada bulan April 2023.

Pada masa yang sama, output elektrik meningkat 5.0 peratus pada Mei 2023 selepas merekodkan negatif 2.0 peratus pada April 2023.

Perbandingan bulan sebelumnya, indeks Elektrik tumbuh kukuh 10.1 peratus (April 2023: -4.8%).

Bagi lima bulan pertama 2023, IPP menyederhana kepada 2.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022 (Januari – Mei 2022: 4.1%).

Pada tempoh tersebut, sektor pembuatan berkembang 2.4 peratus, manakala sektor perlombongan dan elektrik masing-masing meningkat sedikit kepada 0.9 peratus dan 0.1 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast