Home Utama Tahanan lari dari IPD Dang Wangi berjaya dicekup

Tahanan lari dari IPD Dang Wangi berjaya dicekup

KUALA LUMPUR – Seorang tahanan lelaki berjaya diberkas polis dalam tempoh empat jam selepas melarikan diri dari tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek warga tempatan berusia 45 tahun itu ditangkap sekitar jam 1.50 tengah hari di Jinjang.

Katanya, suspek melarikan diri pada jam 9.40 pagi ketika hendak dibawa menaiki lori polis ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, bagi proses pertuduhan berkaitan kes Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bayangkan di tengah-tengah kesibukan bandaraya Kuala Lumpur ini adalah amat sukar untuk kita (polis) mengesan dan menangkap semula suspek ini.

“Namun dengan berbekalkan kelebihan yang ada, suspek ini dapat ditahan dalam tempoh empat jam selepas dia melarikan diri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap enam anggota polis yang terbabit dalam penugasan menguruskan suspek terbabit dari IPD Dang Wangi ke mahkamah.

“Kita sedang meneliti sama ada kejadian ini disebabkan kelalaian oleh anggota polis atau kelicikan suspek sehingga dia berjaya melarikan diri.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan selepas itu kami akan menimbang tindakan yang bakal diambil oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap anggota polis terbabit sekiranya didapati mereka cuai atau lalai.

“Saya juga mengambil kesempatan merakamkan penghargaan terhadap langkah Polis Daerah Dang Wangi yang segera bertindak pantas menjalankan Operasi Cari (Op Cari) sehingga berjaya menahan semula suspek,” ujarnya.

Terdahulu tular dua video di aplikasi Telegram, yang memaparkan suspek terbabit melarikan diri dengan memanjat pagar belakang IPD Dang Wangi, pagi semalam.

Kemudian suspek melarikan diri denga melintas jalan di hadapan Kompleks Wilayah menuju ke arah pusat beli-belah Jakel. – MalaysiaGazette