KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan tiada cadangan undang-undang baharu untuk pemecatan Perdana Menteri, sebaliknya, penambahbaikan dalam memberi ruang masa perbahasan Usul Tidak Percaya oleh ahli Parlimen.
Speaker Dewan Negara berkata, temubualnya bersama media semalam adalah mengenai cadangan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan bagi penambahbaikan proses sedia ada.
Ia merujuk kepada perbahasan Rang Undang-undang daripada ahli yang bukan ahli Kerajaan (Private Bills), Usul Tidak Percaya dan Usul Mengemukakan Pendakwaan atau Pertuduhan (Impeachment), agar mendapat keutamaan masa dibandingkan masa perbahasan Rang Undang-Undang Kerajaan.
“Ingin saya tegaskan bahawa cadangan utama saya adalah untuk menggubal peraturan baharu di dalam Dewan yang memberi ruang masa perbahasan Usul Tidak Percaya dan Usul Mengemukakan Pendakwaan atau Pertuduhan (Impeachment) oleh ahli Parlimen tanpa melalui proses yang rumit dan panjang.
“Cadangan itu bukan penggubalan undang-undang baharu untuk pemecatan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh beberapa media,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, proses sedia ada bagi cadangan perbahasan usul di Dewan Rakyat, selain Rang Undang-Undang Kerajaan melalui notis 14 hari atau lebih dan proses itu harus ditambah baik agar usul-usul lain selain Rang Undang-Undang Kerajaan menepati syarat perbahasan dan Peraturan Majlis Mesyuarat mendapat keutamaan ruang masa dan dibincangkan secara komprehensif oleh ahli Parlimen.
“Ia juga bertepatan dengan komitmen saya kepada perdana menteri bahawa saya akan menjalankan beberapa penambahbaikan dan pembaharuan proses tatakerja di Parlimen Malaysia ketika memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
“Sebagai contoh saya juga ingin memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan membantu pentadbiran dan pengurusan di Parlimen Malaysia secara amnya,” tambahnya.
Ujar Wan Junaidi,, cadangan dan saranan penambahbaikan dan pembaharuan tersebut akan dibincangkan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat di Mesyuarat Jawatankuasa bersama untuk pembaharuan Parlimen yang bakal diadakan dalam masa yang terdekat. – MalaysiaGazette