PUTRAJAYA – Lebih 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) sebanyak RM600 mulai Isnin ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan makanan asas.
“Kerajaan sudah menyediakan STR untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan sebagai tambahan lebih 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-Kasih, akan turut menerima SARa mulai 17 Julai ini.
“Bagaimanapun, perincian berhubung program SARa ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan meluncurkan Program Geran Padanan Pendigitalan PMKS dengan peruntukan RM100 juta pada Ogos ini.
Sejumlah peruntukan juga dikhususkan untuk menggalakkan penjaja kecil aktif dalam pemasaran digital serta melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan dan pengurusan inventori.
Anwar turut turut mengumumkan, kerajaan bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan Skim Perubatan Madani ke tujuh negeri lagi di bandar dengan kependudukan tinggi seperti Klang, Johor Bahru dan Kuching.
Jelasnya, perluasan pelaksanaan itu dilakukan susulan sambutan menggalakkan dan keberkesanan skim berkenaan.
Tambahnya, skim itu diperkenalkan khusus untuk golongan B40 mendapatkan rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. – MalaysiaGazette