KUALA LUMPUR – Seramai 25 orang pelajar sekolah menengah yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar disaman.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tindakan itu dibuat semasa Op Didik Khas yang dijalankan di tempat letak kenderaan Arena Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, sekitar jam 11.45 pagi tadi.
“Kita telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas sekumpulan pelajar sekolah yang sedang berkumpul serta menunggang motosikal mereka tanpa memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambahnya, kesemua pelajar tersebut dan motosikal mereka dibawa ke Balai Trafik untuk tindakan sewajarnya.
“Sebanyak 21 motosikal pelajar berkenaan disita dan dibawa ke Trafik IPD Sepang atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, polis turut mengeluarkan sebanyak 21 saman polis terhadap pelajar- pelajar tersebut atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” ujarnya.
Menurut beliau, polis turut bertemu dengan ibu bapa dan penjaga kesemua pelajar terbabit untuk dirakam keterangan mereka.
“Ibu bapa kesemua pelajar itu dinasihati polis supaya mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan mereka,” tegasnya.-MalaysiaGazette