Pengunjung mengambil kesempatan untuk bergambar bersama tukang gunting Sixers Jb yang mengenakan gaya alfro.

JOHOR BAHRU – Melangkah masuk ke kedai gunting rambut Sixers Jb di aras satu dekat Larkin di sini pastinya membuat pelanggan terhibur.

Kelompok lima anak muda ini begitu meminati fesyen 70-an sudah pasti menarik perhatian sesiapa sahaja terutama pelanggan yang datang.

Pelanggan juga bukan sahaja boleh mendapatkan khidmat gunting rambut malah boleh meminum kopi sementara menunggu giliran sambil menikmati muzik retro.

Pengarah kreatifnya, Muhammad Faixyl Mohd Zulpadil berkata, elemen gaya afro yang ditonjolkan mereka antara lain ingin menampilkan idea kreatif mereka.

Muhammad Faixyl Mohd Zulpadil

“Konsep 70-an yang kita bawa kenapa? Antara dia kita suka dengan suasana dan jiwa dan juga pergerakan seni di sekitar 70-an. Kita rasa benda yang ada di sekitar itu sudah hilang sebab itu kita sampaikan balik rasa seronok dan kasih sayang itu yang hilang dalam kalangan kita.

“Jadi 70-an dengan pemakaian dapat mengingatkan kita balik. Alhamdulilallah pada awalnya orang lihat pelik dan sukar terima pada awalnya kerana orang fikir kedai gunting rambut mesti rambut pendek, kemas, pakai vest macam itu.

“Tapi kita ada ideologi kita dan nak sampaikan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi pekerjanya, Khairul Adib Khalik, 28, gaya yang dikenakan mereka sudah pasti menarik perhatian terutama kepada pelanggan baharu.

Khairul Adib Khalik

Namun, itulah trademark yang cuba ditonjolkan.

“Saya tak rasa begitu, untuk saya, saya rasa bangga dengan saya punya stail sebab dia lambang kelelakian.

“Rambut ini umpamanya susah nak dapat panjang makan masa yang lama. Memamg ramai tanya untuk kalau orang datang dia tanya macam mana nak pakai begini,” katanya.

Raja Muhammad Taqwa Raja Idris, 26, pula menyifatkan profesion seorang pedandan rambut sememangnya tidak lari dengan gaya mengikut citarasa masing-masing.

Raja Muhammad Taqwa Raja Idris

“Dia bergantung ada hari kita rasa hari ini nak tambah extra dalam ketrampilan dan mungkin itu ambil masa sebab nak cari colour tone untuk dapat pada hari itu. Kalau hari simple biasa dalam setengah jam masa.

“Ada juga selalu mereka tanya korang ikut tema ke? Tapi sebenarnya ini harian kita kerana mereka nak tahu hari ini pakai apa dan esok pakai apa. Kadang-kadang teruja padahal tukang gunting sahaja,” katanya.

Sementara itu, pelanggan Amevi Dodji, 29, dari Ghana berkata, dia mengetahui kewujudan kedai gunting berkenaan melalui kenalannya dan hingga hari ini menjadi pelanggan tetap.

Amevi Dodji

“Pertama kali saya berpindah ke Johor Bahru, kawan saya perkenal kedai gunting rambut. Selepas mencubanya saya suka,” katanya.

Bagi anak muda seperti Aiman Hakeem Awazmin, 25, teruja ketika pertama kali mendapatkan perkhidmatan kedai gunting rambut yang sama.

Aiman Hakeem Awazmi

“Dulu kawan ajak datang sini. Bagi saya sebenarnya Johor ini jarang ada konsep sebegini.

“Sesuatu yang unik.Kalau macam saya anak muda memang suka sebab bukan setakat gunting rambut tetapi nak lepak di sini best dan buat content dan TikTok. Itu antara best di sini,” katanya.

Sixers Jb yang beroperasi sejak 2015 dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula 10 pagi hingga 10 malam. – MalaysiaGazette