Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil maklum berhubung perbezaan amaun pencen antara veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013 dan yang bersara mulai 1 Januari 2013, kata Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, isu ini juga dihadapi oleh semua pesara penjawat awam dari skim-skim perkhidmatan yang lain.

Justeru, perincian lanjut mengenai perkara ini akan dibincang bersekali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dipengerusikan oleh perdana menteri dalam masa terdekat.

“Kerajaan bersetuju mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan tiadanya semakan gaji dibuat sejak 2012,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pesara perkhidmatan awam yang telah menyumbang khidmat bakti dalam arus pembangunan negara. – MalaysiaGazette