Anwar ketika berucap dalam majlis Jelajah Perpaduan Madani dan Jentera Perpaduan Negeri Kedah.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi dakwaan Perikatan Nasional (PN) mendapat dana daripada syarikat judi pada pilihan raya umum lalu.

Beliau mendakwa, tindakan PN ketika mentadbir negera menaikkan jumlah cabutan loteri daripada lapan kepada 22 kali bukan dilakukan secara percuma.

“Saya Menteri Kewangan (sudah) tengok fail-fail ini. Saya dulu Ketua Pembangkang memang serang kuat tapi tak terjangkau apa yang mereka lakukan.

“Dengan perjudian haram, orang kata, biasa. Masa UMNO takat lapan. Masa Pas dan Bersatu naik 22 kali. Pas tak betulkan sampai habis. Tapi bukan takat itu dari lapan naik 22 ingat percuma? Dia tak sogok ke?

“Ini banyak duit merata tempat daripada mana? Duit judi! Saya ulang, dulu saya sebut duit judi malam ini saya hendak sebut duit judi yang bantu mereka banyak,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran Jelajah Perpaduan Madani dan Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Guar Chempedak malam ini.

Anwar mencabar pemimpin PN untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya apa yang beliau sampaikan adalah fitnah.

“Nak cabar-cabar, nak saman sila saman saya sekiranya berani. Pas kata dia tak tahu. Hang kalau duduk di kampung tak apa. Ini duduk dalam Jemaah Menteri.

“Sepanjang masa jerit Allahu-akbar, Allahu-akbar (tetapi) dibiarkan (ambil dana judi) begitu rupa,” kata Anwar.

Anwar membuat pendedahan itu kerana pemimpin PN berulangkali menuduh pemimpin Kerajaan Perpaduan mengkhianati Islam dan mengabaikan orang Melayu.

Sementara itu beliau menggesa supaya pemimpin Kerajaan Perpaduan terutama UMNO tidak terus bersikap defensif.

Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, katanya, perlu mengambil pendekatan melawan dan menyerang PN habis-habisan ketika kempen pilihan raya di enam negeri.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ANWAR IBRAHIM macam sihat sikit… BUKTI dia masih ingat tentang JUDI… tapi ANWAR LUPA yang paling banyak antara Penyamun, SAKAU, TURUN minyak, turun barang dan eeee … banyak sangat…. ANWAR ni banyak fobia dia… dengar PAS dengar PN dengar Islam dengar MP NAK TUKAR PM semua dia fobia.. mungkin itu penyebab ANWAR dilihat berhalusinasi…

Comments are closed.