Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Enam individu yang ditahan polis semalam selepas disyaki terlibat dalam sindiket penipuan tawaran khidmat penurapan jalan di kawasan perumahan telah direman polis.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mereka telah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan lanjut.

“Pagi tadi kesemua enam suspek berusia 20 hingga 44 tahun itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang untuk perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Mahkamah kemudian membenarkan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 15 Julai hingga 17 Julai ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan kes ini sebelum diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Azam, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan juga denda jika disabitkan kesalahannya.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau mengesahkan penahanan enam suspek sindiket berkenaan yang memperkenalkan diri mereka sebagai pekerja bertauliah yang dilantik PBT dan menawarkan khidmat menurap jalan depan rumah.

Sindiket berkenaan menggunakan modus operandi memujuk dan meminta mangsa menjelaskan wang RM500 untuk penurapan jalan.

Dalam insiden pada 13 Julai lalu, mangsa seorang lelaki tempatan mendakwa dia terpedaya dengan sindiket itu dan membayar wang pendahuluan RM200 namun menyedari dirinya tertipu selepas kerja penurapan jalan yang ditawarkan tidak berjalan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Enam diberkas terlibat sindiket ‘pekerja PBT’ tipu turap jalan