Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Awas dengan sindiket menawarkan khidmat penurapan jalan di sekitar Ampang Jaya.

Taktik mereka yang memperkenalkan diri sebagai pekerja bertauliah yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengutip wang pendahuluan untuk kerja penurapan jalan depan rumah akhirnya terbongkar.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seramai enam suspek lelaki  yang disyaki telah memerangkap mangsa dan menipu wang dengan menawarkan khidmat menurap jalan perumahan diberkas polis.

Katanya, pada 13 Julai lalu, polis telah menerima satu laporan daripada mangsa yang mendakwa dia telah tertipu dengan tawaran penurapan jalan oleh enam suspek lelaki dalam kejadian di Kampung Ampang Indah, Ampang.

“Dalam kes ini, tiga orang lelaki telah datang ke rumah mangsa dengan menawarkan perkhidmatan penurapan jalan di kawasan hadapan rumah dengan harga RM500.

“Percaya dan yakin dengan kata-kata suspek itu, mangsa bersetuju dengan tawaran yang ditawarkan dan telah membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM200,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Mohd Azam, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan mendakwa mereka adalah pekerja yang telah dilantik secara sah oleh PBT.

Namun, katanya, sehingga laporan polis dibuat tiada sebarang turapan jalan seperti yang dijanjikan sebelum mangsa menyedari dia telah ditipu oleh suspek.

“Bertindak atas aduan mangsa dan hasil maklumat pada Jumaat jam lebih kurang 4.30 petang, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Ampang Jaya telah membuat serbuan di kawasan Ampang.

“Hasil serbuan, polis berjaya menangkap suspek yang disyaki bertanggungjawab dalam kes yang disiasat polis iaitu enam lelaki tempatan yang berusia di antara 20 tahun hingga 44 tahun.

“Mereka akan dihadapkan ke mahkamah pagi Sabtu untuk perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan ke atas suspek,” ujarnya.

Tegas Mohd Azam, polis percaya lebih ramai masyarakat di luar sana telah menjadi mangsa dan terpedaya dengan modus operandi suspek turap jalan tersebut.

“Sehubungan itu pihak polis meminta orang ramai yang ada ditawarkan perkhidmatan yang sama atau telah menjadi mangsa agar tampil untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Orang ramai boleh berhubung dengan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Ampang Jaya di talian 03-42952222 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” kata beliau.-MalaysiaGazette