Seorang kanak-kanak lelaki penumpang bas maut apabila kenderaan terbabit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Bandar Chaah, Segamat, pagi tadi.

SEGAMAT – Seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki  bas maut apabila kenderaan terbabit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Bandar Chaah di sini hari ini.

Dalam nahas kira-kira pukul 7.10 pagi itu, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di klinik berhampiran.

Menerusi laporan awal, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 7.13 pagi.

Sementara itu, kedua-dua pemandu treler dan bas masing-masing berusia 65 dan 62 tahun cedera parah di kepala.

Manakala wanita 45 tahun yang merupakan ibu kepada kanak-kanak itu patah kaki kanan manakala seorang lagi penumpang wanita berusia 23 tahun mengalami kecederaan ringan.

Kemalangan membabitkan sebuah bas Hino henti-henti membawa tiga orang penumpang yang keluar dari simpang berhampiran sebuah lampu isyarat sebelum dirempuh di bahagian tengah oleh sebuah lori tangki dari arah Chaah ke Yong Peng.

Operasi menyelamat dijalankan oleh sepasukan 14 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis dibantu BBP Yong Peng di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada kira-kira pukul 9.03 pagi. -MalaysiaGazette