SHAH ALAM – Cadangan penubuhan satu unit khas bagi meneliti kes-kes berkaitan dengan isu 3R (kaum, agama, raja) yang sering dimainkan semasa tempoh kempen pilihan raya sepatutnya terpakai kepada semua pihak.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cadangan itu bagi memastikan wujud satu padang yang sama rata antara kerajaan dan pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kita tak mahu mana-mana pihak bercakap tentang perkara sensitif, ia terpakai kepada semua bukan kepada parti pembangkang atau parti kiri atau kanan, semua sekali termasuk pihak berkuasa.
“Kalau ia tidak diambil pengajaran semua pihak, ia tidak berfungsi dengan elok dalam masyarakat kita.
“Apa juga peraturan yang dibuat adalah terpakai kepada semua orang sepatutnya dan tiada pihak menggunakan ugutan dan bermacam perkara yang menakutkan pengundi,” katanya pada sidang media hari ini.
Khamis lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis akan mengkaji keperluan menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes isu 3R.
Beliau berkata, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 melihat sebilangan besar isu 3R dimainkan dalam tempoh singkat dan sesuatu yang amat membimbangkan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan semua orang supaya mengelak daripada sensitiviti 3R semasa tempoh berkempen PRN.
Dalam pada itu, PN juga mahu satu unit khas ditubuhkan untuk memantau calon-calon Kerajaan Perpaduan yang menyentuh perkara sensitif dalam PRN akan datang.
“Kami pun nak juga (unit khas), supaya lawan sebelah sana tidak buat perkara-perkara tertentu. Kita pun boleh juga (cadangan), tapi yang penting ialah kita mahu proses pilihan raya same level playing field, itu yang penting,” katanya lagi. – MalaysiaGazette