KUALA LUMPUR – “Merdekakah pesawah kita?”
Itu persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir susulan nasib golongan pesawah yang didakwa terus dihimpit pelbagai cabaran bagi memastikan kelangsungan tanaman padi.
Beliau berkata, pesawah terpaksa berdepan kerugian apabila tanaman yang diusahakan berulang kali rosak akibat banjir sebelum berdepan pula masalah kekurangan air ketika tiba musim menuai.
“Musim sudah, tabur atau menanam sampai dua atau tiga kali sebab air bah ada banyak bendang tenggelam punca banjir tapi demi mencari rezeki yang ada pun, biar ranjau sepanjang jalan tetaplah dilalui. Buat lagi.
“Bila gagah pulun jugak buat lagi, tiba masa nak mengerat, air pula kering maka tak boleh nak ambil hasil, lalu pakat tinggal. Maka dok tanggung rugi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila pesawah memulakan musim tanaman baharu dalam keadaan bekalan air pula tidak mencukupi selain hasil dijangka terjejas.
Katanya, kelewatan bekalan baja, masalah rumpai dan serangan perosak turut menambah beban yang ditanggung pesawah selain kerosakan tanaman akibat ribut.
“Setengah kawasan keladi agas jadi fenomena semula, rumput sambau janganlah dok kata, racun pun mahal. Tau-tau ada yang kena bom bena perang pula.
“Tambah menyedihkan, mai ribut sehari dua ada petak yang rebah, habuan tak terkata apa,” katanya.
Mohd Ashraf yang juga Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA) berkata, segala cabaran berkenaan akhirnya perlu ditanggung pesawah sedangkan mereka masih tidak mengetahui bagaimana kedudukan harga padi yang bakal diterima.
Beliau turut mempersoalkan potongan hasil yang tinggi serta peningkatan kos diesel yang menurutnya semakin menekan pendapatan pesawah.
“Kalau kena potongan tinggi tak masuk akai macam musim sudah dok jadi, dengan segala bebanan punca kenaikan diesel yang tak diperhalusi, memang mati terkesan pesawah-pesawah kami.
“Kerajaan kena ambil cakna, jangan biar kitaran yang sama. Kalau makin elok ada peningkatan tak apa, ini kalau makin teruk memang sampai bila nak biarkan pesawah derita?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada golongan pesawah benar-benar menikmati makna kemerdekaan sekiranya mereka masih terpaksa berdepan tekanan dan bebanan dalam mengusahakan tanaman padi.
“Derita di bawah ‘kartel’ dan ‘cukong’ durjana!? Merdekakah pesawah kita?” katanya. – MalaysiaGazette
















