KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menganggap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai menghina instiusi diraja.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin beranggapan kenyataan Muhammad Sanusi juga mempertikaikan kewibawaan baginda memilih menteri besar.
Menurut Mohamad Munir, baginda menzahirkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor yang bertindak membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi.
Sultan Sharafuddin juga amat berbesar hati atas sokongan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor dan semua pihak yang memberi sokongan kepada baginda.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor yang bertindak membuat satu laporan polis pada 14 Julai 2023 lalu.
“la susulan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau, yang dianggap menghina dan mempertikaikan kewibawaan Institusi Diraja Selangor berhubung pemilihan jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor,” kata Mohamad Munir dalam kenyataan.
Sebelum itu, Sultan Sharafuddin bertitah, isu membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi ‘masih belum selesai’.
Facebook Selangor Royal Office dalam kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin sebelum itu telah menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mengenai isu tersebut.
Sultan Sharafuddin turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.
Selangor Royal Office berkata, kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi dianggap menghina institusi diraja Selangor.
Muhammad Sanusi sebelum ini menimbulkan kontrovesi selepas mendakwa Sultan Kedah tidak akan melantik individu seperti Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar.
Beliau didakwa membuat kenyataan tersebut dalam ceramahnya baru-baru ini.
“Sultan Kedah sampai sekarang dari satu susur galur tak pernah putus, itulah Kedah Darul Aman, hebatnya Sultan Kedah begitu teratur, bukan ‘koman-koman’, tengok menteri besar (Kedah).
“Sultan hebat macam itu (Sultan Kedah) tak akan pilih menteri besar ‘cokia’ macam Amir (Amirudin) tu. Inci pun tak berapa cukup, tarik balik fasal inci,” ucap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu.
Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada Jumaat lalu.
Laporan polis itu dibuat oleh Datuk Emran Kadir, Tan Sri Ambrin Buang, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Mohammed Khusrin Munawi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Isu membabitkan Sanusi ‘masih belum selesai’ – Sultan Sharafuddin