The Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Covid-19 SOP flash flood floods Labour Day public holiday
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, isu membabitkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ‘masih belum selesai’.

Facebook Selangor Royal Office dalam kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin telah menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mengenai isu tersebut.

Sultan Sharafuddin turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor hari ini.

Selangor Royal Office berkata, kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi dianggap menghina Institusi Diraja Selangor.

“Pertemuan secara berasingan ini telah membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.

“Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” katanya dalam hantaran hari ini.

Muhammad Sanusi sebelum ini menimbulkan kontrovesi selepas mendakwa Sultan Kedah tidak akan melantik individu seperti Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar.

Beliau didakwa membuat kenyataan tersebut dalam ceramahnya baru-baru ini.

“Sultan Kedah sampai sekarang dari satu susur galur tak pernah putus, itulah Kedah Darul Aman, hebatnya Sultan Kedah begitu teratur, bukan ‘koman-koman’, tengok menteri besar (Kedah).

“Sultan hebat macam itu (Sultan Kedah) tak akan pilih menteri besar ‘cokia’ macam Amir (Amirudin) tu. Inci pun tak berapa cukup, tarik balik fasal inci,” ucap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu.

Beliau pada 15 Julai lalu dilaporkan telah mengutuskan warkah kepada Sultan Sharafuddin Idris ucapan berkenaan.

Menurut Muhammad Sanusi, pegawai istana Selangor memaklumkan Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah tersebut.

Kata Menteri Besar Kedah tersebut, warkah itu menjelaskan konteks dan maksud sebenar ucapan yang didakwa sengaja diputarbelitkan.

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda tuanku sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

“Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” kata Sanusi dalam kenyataan. – MalaysiaGazette