KUANTAN – ”Cukup ke lauk tu? Awak tak ada lauk tu,” sapa Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah

Aksi bersahaja Tengku Hassanal mencedokkan lauk kepada para penuntut Pondok Ribath Mustofa mencuri perhatian ramai.

Keprihatinan itu ketika baginda berjalan ke khemah untuk melihat para pelajar dan orang ramai yang menyertai jamuan sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Perbandaran Kuantan di sini, hari ini.

Bagi Muhammad Umar Dawrish Khairi, 14, dia gembira dapat bertemu secara dekat dengan  Tengku Hassanal.

Awalnya Umar malu-malu disapa Tengku Hassanal tetapi kemudian menghulurkan pinggan kepada baginda yang bersiap-sedia untuk mencedokkan lauk.

”Suka sangat dapat tengok Pemangku Raja Pahang, tak sangka baginda cedokkan lauk kepada kami. Besar hati saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Muhammad Fazri Iskandar Zamri (kiri) menunjukkan tanda tangan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada bukunya.

Pada majlis itu, para pelajar lelaki dan perempuan lain turut tidak melepaskan peluang  beratur untuk mendapatkan tandatangan Tengku Hassanal sebagai kenang-kenangan.

Muhammad Fazri Iskandar Zamri, 13, berkata, hari ini adalah kali pertama bertentang mata dan mahu mengabdikan pertemuan dengan tandatangan baginda pada buku nota.

Menurut pelajar SMA Al-Ihsan itu, dia gembira apabila Tengku Hassanal berhenti santap  dan turun ke khemah secara mengejut bagi menyantuni para pelajar.

”Kali pertama jumpa depan-depan, baginda layak dijadikan idola, pemimpin yang baik dan adil, sanggup layan kami.

”Baginda pandai dekat dengan rakyat, sudahlah segak, hati baik pula,” ujarnya.

Aksi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bergambar bersama kaabah di pentas di Dewan MBK di sini mendapat pujian ramai.

Sebelum itu, Tengku Hassanal mendapat tepukan gemuruh lebih 500 para hadirin apabila meminta jurukamera mengambil gambarnya seorang di hadapan skrin layar bertemakan kaabah dan menunjukkakan simbol shahadah di atas pentas.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama pimpinan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast