Seorang lelaki dan wanita direman oleh SPRM bagi membantu siasatan kes melibatkan sektor perlombongan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan remanĀ  Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan melibatkan rasuah melebihi RM13 juta.

Sumber memberitah, kedua-dua individu itu telah dibenarkan direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 21 Julai ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Majistret Norsyakirah Che Hashim di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas permohonan reman dibuat SPRM hari ini ke atas kedua-dua individu itu.

Kata sumber, suspek yang masing- masing berusia 63 dan 40 tahun itu sebelum ini telah ditahan di Kuala Lumpur dan Alor Setar lewat petang semalam.

Tambah sumber, aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat terlibat mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak tahun 2020 lagi.

“Hasil siasatan yang dijalankan oleh SPRM dapat mengesan beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta yang diberikan syarikat terlibat sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini dalam tempoh 2020 hingga 2023.

“Syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai telah mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah dalam tahun 2016,” tambah sumber.

Projek tersebut bertujuan untuk menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan yang terlibat.

Manakala pada tahun 2020, syarikat sama telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam kompartmen yang sama.

Namun, setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh kerajaan negeri berhubung permohonan syarikat tersebut bagi menjalankan aktiviti perlombongan itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi telah mengesahkan penahanan kedua-dua suspek tersebut dan menjelaskan kes sedang disiasat di bawah seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Syarikat dapat KELULUSAN 2016.
    Syarikat yang sama mohon perlombongan 2020 tidak lulus.
    Rasuah RM 13 juta untuk 2020-2023
    Reman CEO MBI KEDAH dan Pengarah Syarikat.
    DAP PKR UMNO perlu korek dan DESAK KES ini supaya yang terlibat didakwa segera dan diteruskan tidak kira suspect/peguam itu SAKIT atau TENAT. Banyak KES tertangguh lama seperti Hoi Hoi Yahoi Penyamun bila banyak MC SAKIT sana SAKIT sini…

  2. Bila Amanah dikhianati..kejujuran bertukar tamak haloba..Kifarah pun tiba.. itu lah untungnya bila Allah tunjukkan diatas dunia..Viral terus maharajalela. Padan Muka..masa buat tak guna AKAL Manusia

Comments are closed.