Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Penubuhan unit khas bagi memantau isu agama, bangsa dan raja (3R) hanyalah bertujuan untuk membendung bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, bagi memastikan unit khas itu berkesan, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan media sosial.

“Kita ingin mengelakkan bibit-bibit perpecahan, saya telah berhubung dengan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha KKD dan penyedia perkhidmatan platform media sosial seperti TikTok.

“Kita sudah mengadakan perbincangan semalam dan saya lihat ada keperluan untuk mewujudkan satu unit yang terselaras,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Khamis lalu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis akan mengkaji keperluan menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes isu 3R.

Beliau berkata, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 melihat sebilangan besar isu 3R dimainkan dalam tempoh singkat dan sesuatu yang amat membimbangkan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan semua orang supaya mengelak daripada isu sensitiviti 3R semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam pada itu, unit khas itu bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk meraih sokongan politik dengan menyalahgunakan isu 3R sepanjang tempoh kempen PRN.

“Kita tidak mahu ada bibit-bibit perpecahan kepada sentimen perkauman yang sempit, menggunakan hujah-hujah boleh kita anggap keagamaan ekstrem, memperlekeh, menghina atau menghasut rakyat tidak menghormati institusi Raja-Raja,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan memberi jaminan kepada kebebasan bersuara seperti mana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Namun kita tidak ada kebebasan untuk memfitnah atau melaga-lagakan rakyat dengan memainkan isu 3R.

“Untuk menjaga keamanan, dan keselamatan orang awam, pihak berkuasa bersedia mengambil apa-apa tindakan sewajarnya demi keamanan dan kemajuan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast