Penyokong yang hadir sambil mengibarkan bendera Pas di Pelancaran Jentera Pilihanraya Pas Pusat pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

GEORGE TOWN – Pas dijangka meletakkan calon sekurang-kurangnya membabitkan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos nanti.

Sumber dalaman parti itu berkata, formula pembahagian 10 kerusi DUN majoriti Melayu cenderung berpandukan perbincangan agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Antara kerusi DUN yang dijangka ditandingi Pas ialah Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar di bawah Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Betong (Parlimen Balik Pulau) dan Sungai Bakap (Parlimen Nibong Tebal).

“Selain itu, kerusi penyandang DUN Penaga antara kerusi hampir pasti dimenangi parti itu susulan meraih 8,530 undi atau majoriti 1,132 undi selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zain Ahmad yang mendapat 7,398 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kita juga menjangkakan satu kerusi di Parlimen Permatang Pauh iaitu DUN Permatang Pasir akan diperuntukan kepada Pas memandangkan Parlimen itu dimenangi calon parti ini  pada PRU15 November lalu,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut sumber berkata, Pas juga mempunyai calon-calon Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang boleh diketengahkan untuk bertanding di kerusi-kerusi campuran sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian menjelang hari penamaan calon 29 Julai ini.

“Kita memang menyasarkan untuk menang di semua kerusi yang ditandingi bagaimanapun ia bergantung kepada ‘mood’ rakyat untuk melihat perubahan selepas tiga penggal Pakatan Harapan (PH) menguasai negeri ini.

“Kami sedar pengundi atas pagar, undi protes terhadap kerjasama UMNO dan DAP selain pengundi muda merupakan antara undi penentu yang boleh memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRN nanti,” katanya.

PRN bakal berlangsung di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU14, PH memenangi 37 kerusi manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast