KEPALA BATAS – Seorang peniaga kedai makan mengalami kerugian RM512,244 akibat diperdaya sindiket penipuan pelaburan di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 54 tahun, semalam.

Jelas beliau, mangsa mendakwa melihat iklan pelaburan saham ‘Value Investing’ di Facebook pada 22 Mei lalu sebelum menghubungi ejen tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian diberikan penerangan mengenai pelaburan tersebut sebelum dia bersetuju menyertai pelaburan saham itu susulan ditawarkan keuntungan lebih kurang RM400,000.

“Susulan itu, mangsa mendaftar akaun pelaburannya melalui sebuah laman web bermula 20 Jun hingga 5 Julai lalu.

“Mangsa melakukan 20 transaksi wang berjumlah RM512,244 ke lapan akaun bank syarikat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Mohd Asri, rasa diperdaya selepas ejen pelaburan turut menghilangkan diri manakala laman web yang dijadikan sebagai platform pelaburan juga gagal diakses mangsa tampil membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang bentuk pelaburan menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat,” katanya. – MalaysiaGazette