Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap Sambutan Hari Imigresen 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Sehingga hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum menerima sebarang notis tuntutan saman daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dakwaan fitnah berhubung dua isu berasingan.

“Tidak ada, saya tidak ada terima apa-apa lagi. Dia (Sanusi) di Kedah dan saya di sini (Putrajaya)

“Bezanya, saya biasa boleh dihubungi bila-bila masa. Saya tak elak panggilan, itu sahaja beza.

“Saya tidak terima apa apa lagi setakat hari ini., semalam saya sepanjang hari di Kedah, malam ini di Kedah lagi, jadisaya boleh didekati dengan mudah dan tak susah didekati sehingga jam 3 pagi,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen 2023 di sini hari ini.

Muhammad Sanusi ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana, di Sik, Kedah malam tadi memberitahu pihaknya sudah menghantar notis tuntutan kepada Saifuddin kerana didakwa memfitnahnya berhubung dua isu berasingan.

Surat tuntutan itu berkaitan dakwaan Saifuddin bahawa Sanuri terlibat dalam mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan menuduhnya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sebanyak RM1.6 bilion untuk tujuan lain.

Muhammad Sanusi berkata, peguamnya sudah e-mel surat tuntutan itu malam tadi, dan akan sampaikan notis tuntutan itu secara tangan kepada Saifuddin hari ini.

Pada Ahad lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan mencabar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin Nasution berhubung isu dana MARRIS dan REE.

Muhammad Sanusi berkata, maklumat dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.

Mengulas lanjut mengenai isu REE di Kedah, Saifuddin turut mempersoalkan tentang tindakan pemimpin Pas itu yang masih tidak menceritakan serta menjelaskan situasi sebenar kepada rakyat negeri termasuk pengambilan kumpulan pekerja dari China.

“Saya pelik, Sanusi seorang pemimpin yang pantas jawab apa jua persoalan tapi kes ini dia diam walaupun sudah 72 jam (sejak didedahkan).

“Kakitangan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dari China yang memegang pas lawatan ikhtisas telah ditangkap, kenapa Sanusi tidak cerita kepada rakyat apa jadi kepada pekerja itu.

“Dia sudah terminate (buang kerja) pekerja ke? Apa status sekarang? Dia (Sanusi) kena jawab sebab dia yang minta surat bawa masuk pekerja yang bertaraf staf pengurusan profesional,” katanya.

Malah tegasnya, sekiranya lelaki China itu diambil sebagai pekerja profesional, tidak sepatutnya ditangkap kerana perbuatan mencuri lebih kurang 380 kampit mineral REE.

“Tujuan pekerja itu dibawa masuk untuk bantu kerja eksplorasi, kerja ambil sampel sikit-sikit, tapi kalau dah 380 kampit, itu bukan eksplorasi tapi itu curi dan Sanusi tahu pekerja itu bekerja dengan MBI, rakyat Kedah berhak tahu apa jadi kepadanya.

“Malah jika benar mereka ada ahli geologi,persoalannya adakah mereka berdaftar sah dengan Lembaga Geologi Malaysia kita,”soalnnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.