Temubual SkopMG bersama Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM), Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 20 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad menunggu bukti yang akan ditampilkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbicaraan yang akan bermula 24 Julai ini.

Mahathir yang juga perdana menteri sebanyak dua kali berkata, sehingga kini beliau tidak nampak Anwar mempunyai apa-apa bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan.

“Nak cakap mudah. Tunjuklah. Macam bila kita tuduh (bekas) perdana menteri (Datuk Seri) Najib (Razak) telah salah guna kuasa kita tunjuk bukti. Ada cek, surat dan pengakuan yang tidak boleh ditolak dalam mahkamah.

“Tetapi adakah yang dikatakan Anwar ini, nampaknya tuju kepada saya, apa dia bukti?

“Saya ambil tindakan saman dia memfitnah. Dia kata dia ada bukti tunjuklah. Sampai sekarang tak tunjuk bukti. Cuma cakap sahaja,” katanya.

Dalam beberapa siri ceramah Anwar mencabar bekas pemimpin yang mempunyai gelaran ‘Tun’ dan ‘Tan Sri’ mengumpul kekayaan ketika memegang kuasa untuk membantu orang Melayu.

Cabaran itu dibuat selepas pemimpin terbabit bersuara mahu membantu dan menyelamatkan orang Melayu yang dilupakan ketika mereka berkuasa.

“24 hari bulan kes itu akan didengar dalam mahkamah dan kita hendak tengoklah. Dia kata ada kotak-kotak penuh dokumen.

“Keluarkan kotak itu, tunjukkan kepada saya bahawa saya ada duit banyak bilion-bilion.

“Saya pun nak tahu juga pasal kalau saya ada duit banyak saya kena ambilah,” katanya dalam program Skop MG yang disiarkan di semua platform media sosial MalaysiaGazette.

Pada 3 Mei lalu bekas Mahathir memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Mahathir meneruskan tindakan undang-undang selepas Anwar tidak mematuhi surat tuntutan agar membuat permohonan maaf terhadapnya berhubung dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar di Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac lepas.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya, Mahathir sebagai plaintif mendakwa ucapan Anwar itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Beliau turut mendakwa kenyataan Presiden PKR itu adalah tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas perdana menteri keempat dan ketujuh adalah seorang yang bersifat perkauman.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, kenyataan berkenaan turut bermaksud kononnya beliau individu yang mempunyai kekayaan dalam lingkungan ‘berbilion-bilion’, membawa wang itu ke luar negara; dan mengelak untuk membayar cukai.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast