'Barkoba' angkat Bell sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 35.

KUALA LUMPUR – Watak Barkoba menerusi telefilem 16, 17 dan 18 Puasa memberi tuah kepada Bell Ngasri apabila aktor itu diumum pemenang trofi utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, malam ini.

Malah, suasana acara yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), di sini riuh
dengan jeritan ‘Yak Yak Yey’ iaitu slogan dipopularkan Bell untuk merangkul trofi Bintang Paling Popular pada edisi ke-35

Rata-rata penonton dilihat teruja dan berpuas hati dengan kemenangan diraih Bell pada ABPBH 35 ini selepas 37 tahun tidak pernah memenangi sebarang anugerah popular sebelum ini.

Bapa kepada tiga anak itu mengetepikan calon lain yang sebelum ini disebut-sebut bakal membawa trofi dambaan artis seperti Anna Jobling, Meerqeen dan Aina Abdul.

Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri sebelum itu memenangi kategori Artis Komedi Popular apabila bapa kepada tiga cahaya mata ini berjaya mengatasi empat pesaing lain iaitu Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli.

Nama Bell juga muncul antara 10 artis meraih undian tertinggi dalam saingan Top 5 ABPBH 35 bersama sembilan artis lain iaitu Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana.

Turut hadir menyaksikan kemenangan Bell di pentas ABPBH 35 adalah ibu dan bapanya, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar serta adiknya, Naszreen Ngasri, 40, atau Darling serta Datin Nasriah atau Anne, 38.

Sementara itu, watak Barkoba iaitu lelaki yang malas berpuasa dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang adalah antara faktor dirinya menjadi sebutan peminat.

Bell tular dalam media sosial apabila pencalonan pertama dalam kategori Artis Komedi Popular meraih perhatian netizen.

Bell yang memulakan kerjaya seni sejak usia enam tahun dilahirkan dalam keluarga seni. Abangnya, Naszeli Ngasri dan dua adiknya, Darling serta Anne turut aktif sebagai pelakon.

Selepas membina nama sebagai pelakon filem menerusi filem Cinta Kita pada 1995, Bell melebarkan kerjaya melawak pada 2007 apabila syarikat produksi mula memberi kepercayaan kepadanya menjayakan watak komedi.

Selain itu, antara filem yang pernah dibintanginya adalah Kampung Latah The Mummy, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali, Bulan dan Pria Terhebat, Hero: Jangan Bikin Panas, Tanda Putera, 1957: Hati Malaya, Puteri Impian dan banyak lagi.

Bell pernah meraih kejayaan sebagai Aktor Pembantu Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 1998 menerusi telefilem menyentuh hati berjudul Pa’e yang dibintangi Shaheizy Sam dan Harun Hashim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast