KUALA LUMPUR- Seramai 2,737 pelajar baharu sesi 2023/2024 bagi program-program Asasi Sains aliran Hayat/Fizikal, Sains Sosial, Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIDS) mula mendaftar di Universiti Malaya, di sini, semalam.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Sabri Musa, pendaftaran berlangsung di Universiti Malaya dengan kerjasama staf seramai 280 orang dan 170 pelajar sukarelawan.
“Setakat hari ini, proses pendaftaran berjalan lancar dan saya berharap cuaca menyebelahi kita. Pesanan saya kepada pelajar baharu dan ibu bapa, tahniah diucapkan kerana mendapat peluang untuk menyambung pelajaran di Universiti Malaya di mana tempat agak sukar dan terhad, saya mewakili pengurusan Universiti Malaya akan memastikan pelajar-pelajar selesa untuk menjalani kehidupan di kampus.
“Minggu Suai Kenal Pelajar akan bermula esok sehingga Jumaat ini. Mereka akan mengikuti sesi taklimat di Dewan Tunku Canselor bagi sesi perkenalan berkaitan akademik, hal ehwal pelajar dan juga akan dibawa ke melawat bilik kuliah dan sekitar Pusat Asasi Sains,” katanya.
Menurut Ilhan Azeemi Mohd Rais, 18, pelajar Asasi Sains Sosial, beliau agak gemuruh kerana ini merupakan kali pertama beliau merasai kehidupan di asrama.
“Walaupun tak jauh dari rumah tapi keseronokan dan rasa gemuruh masih ada,” katanya.
Andreana Estelle Anak Colline yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, dia tiba di Kuala Lumpur tiga hari lepas bagi persiapan untuk mendaftar ke Universiti Malaya.
Ibu beliau juga merupakan alumni Universiti Malaya berharap anaknya dapat menyesuaikan diri di kampus seperti beliau juga dan semoga pelajar yang mendaftar hari ini terus berjaya dan terus mencapai kecemerlangan di Universiti Malaya.
Ain Nabihah Masuki, 18, dari Kemaman, Terengganu berasa sayu kerana ini merupakan pengalaman pertama menginap di asrama.
“Saya berharap saya boleh mengharungi kehidupan di kampus sampai dapat menyambung Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya dalam bidang perakaunan,” jelasnya.
Ibu bapa yang turut hadir bagi sesi pendaftaran pada hari ini, Dr Nazrul Anuar Nayan, pensyarah kanan berkata, beliau sangat berbangga anaknya Wan Muhammad Haziq Nazrul Anuar dapat menyambung legasi beliau di Universiti Malaya.
“Saya berharap anak saya dapat menjadi pelajar cemerlang dalam pelajarannya seperti mana impian saya 31 tahun dahulu di Universiti Malaya.
Anaknya, Wan Muhammad Haziq pula berkata, dia ingin merasai dan melalui pengalaman yang sama seperti ayahnya sewaktu menyambung pelajaran di Universiti Malaya.
Selain itu, sebanyak 1,700 bungkusan makanan kering sumbangan daripada Foodbank Siswa UM telah diedarkan kepada pelajar-pelajar yang mendaftar. – MalaysiaGazette