Keadaan Perodua Viva yang remuk teruk selepas pemandunya maut akibat merempuh pokok selepas terlibat dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan dalam kejadian di Puchong Perdana, Subang lewat petang semalam.- Gambar ihsan IPD Subang Jaya.

SUBANG – Seorang maut manakala tiga lagi terselamat selepas tiga kenderaan bertembung dalam satu nahas jalan raya yang di Puchong Prima, Puchong Perdana semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa hilang kawalan dan telah melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan kereta jenis Proton Wira.

“Bagaimanapun, penunggang dan pembonceng motosikal terselamat kerana cedera ringan manakala pemandu Proton Wira tiada mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu Perodua Viva yang panik dengan perlanggaran terhadap dua kenderaan lain tanpa menghentikan kenderaannya terus memecut laju di Jalan Desa Millenia ke arah Puchong Prima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, apabila melalui selekoh di Jalan Desa Millenia itu, Perodua Viva itu terbabas dan melanggar sebatang pokok yang terdapat di kiri jalan tersebut.

Akibat perlanggaran kuat itu menyebabkan pemandu  Perodua Viva itu maut di lokasi kejadian tersebut.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar insiden kemalangan berlaku,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan  Bin Jeramatin di talian 019-464 2222. – MalaysiaGazette