MELAKA – Melaka menubuhkan pasukan khas untuk memantau isu tekanan mental dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia selepas dibuat selepas mendapati kekerapan berlaku insiden kematian pelajar kebelakangan ini.

Menurutnya, pasukan itu adalah ditambah baik daripada pasukan khas menerusi program Pembangunan Sahsiah Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) Melaka yang diwujudkan tiga tahun lalu lalu bagi mengekang kejadian buli di sekolah.

“Kita akan minta task force ABC ini kesan trend masalah mental dalam kalangan pelajar berkaitan insiden yang berlaku baru-baru ini,

“Mungkin ada elemen ini (kesihatan mental) sebab itu kita gerakkan task force pergi ke sekolah-sekolah terutama di sekolah berasrama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Penajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Penyerahan Jersi Pasukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota di Bukit Serindit di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pasukan itu sebelum ini telah berjaya melaksanakan peranan dengan cemerlang apabila berlaku pengurangan kes di sekolah-sekolah yang dianjurkan program ABC.

“Kita lihat, dalam tempoh beberapa bulan selepas program, tiada lagi kes-kes sosial dalam pelajar namun kembali berlaku selepas enam bulan hingga setahun.

“Jadi lepas ini kita akan adakan program ini dengan lebih kerap mungkin setiap enam bulan,” katanya.

MalaysiaGazette pada 5 Julai lalu, melaporkan seorang pelajar tingkatan dua mencekik sehingga mati adik lelakinya berusia sembilan tahun di Kampung Bukit Piatu akibat dipercayai mengalami tekanan mental.

Pada Khamis lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan satu pula dilaporkan terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah di Durian Daun dekat sini.

Mangsa dikatakan sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Muar, Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast