Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto MUHD NA’IM,25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya wujud komplot dan rancangan untuk menangkap beliau sejak enam bulan yang lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menyangkal tohmahan itu dan menegaskan,  penangkapan yang dibuat pada 18 Julai lalu berdasarkan kronologi siasatan kes dan laporan polis yang diterima kerana menghina Sultan Selangor.

Ujarnya, sesiapa pun boleh membuat macam-macam dakwaan mengikut tafsiran masing-masing dan mengikut kronologi, Muhammad Sanusi telah mengeluarkan kenyataan berbaur menghina Sultan Selangor pada 11 Julai lalu sebelum laporan polis pertama dibuat ke atasnya sehari selepas itu.

“Pada 14 Julai pula, polis turut menerima laporan daripada Dewan di-Raja Selangor berhubung Muhammad Sanusi yang menghina Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

“Berdasarkan laporan polis itu, siasatan dijalankan dan tangkapan dibuat mengikut kronologi siasatan kes tersebut pada 18 Julai lalu dan pada hari yang sama Muhammad Sanusi dituduh di mahkamah, jadi tidak timbul isu pihak polis menjalankan siasatan enam bulan sebelum itu atau ada konspirasi lain.

“Tindakan dibuat susulan kenyataan yang dimuat naik iaitu menghina institusi diraja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera bagi Kejohanan World Police and Fire Games di sini hari ini.

Muhammad Sanusi sebelum ini membuat dakwaan tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan rakannya yang memberi amaran tindakan akan diambil kepadanya susulan kritikan terbukanya terhadap pihak-pihak tertentu.

Dalam pada itu, tegas Ayob Khan, sempena bulan kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia khususnya orang politik perlu mengingat semula isi-isi Rukun Negara agar perkara sebegini tidak berulang.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang masih lagi cenderung menghina institusi diraja ekoran banyak amaran telah dikeluarkan.

“Saya rasa jelas, amaran sudah diberikan, sultan pun sudah bertitah jika ada lagi cenderung untuk menghina institusi raja, tindakan akan diambil tidak mengira latar belakang. Jangan buat-buat cerita lain apabila ditahan atau ditangkap. Berhati-hatilah,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan 3 R ke atas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang – Ayob Khan berkata, kertas siasatan berkaitan sudah dihantar kepada Peguam Negara pada 17 Julai lalu.

“Kita hanya menjalankan siasatan dan kini sedang menunggu arahan. Apa-apa perkembangan kita akan maklumkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette