Tiga anggota polis Balai Bukit Mertajam, Pulau Pinang direman bantu siasatan kes terima suapan di Mahkamah George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Tiga anggota polis direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes meminta rasuah RM3,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas seorang lelaki yang ditahan mereka pada 20 Julai lalu.

Masing-masing tiga anggota polis yang berusia 20, 36 dan 38 itu bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kesemua suspek itu bermula hari ini sehingga 27 Julai ini.

Kesemua suspek direman selama tiga hari.

Menurut sumber, dua koperal dan seorang konstabel itu ditahan selepas pihaknya mendapati mereka membuat pemeriksaan ke atas seorang individu di Jalan Berapit, Mengkuang, Bukit Mertajam kira-kira pukul 7.15 malam pada 20 Julai lalu.

Katanya, kesemua anggota polis yang menaiki kereta peronda jenis Honda Civic itu mendapati cukai jalan motosikal yang ditunggangi individu itu telah tamat tempoh selain dia memiliki sebungkus air ketum serta beberapa kotak rokok tidak bercukai.

“Tiga suspek berkenaan telah menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada individu tersebut sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukannya.

“Susulan itu, SPRM menahan ketiga-tiga anggota polis itu pada pukul 7.25 malam semalam ketika mereka hadir ke pejabat SPRM Pulau Pinang.

Dua koperal dan seorang konstabel itu ditahan susulan menerima suapan berjumlah RM3,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, katanya.

MalaysiaGazette pada 13 Julai lalu melaporkan lima anggota polis Pulau Pinang direman bantu siasatan susulan menerima suapan bagi menyelesaikan kes berkaitan narkotik. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lima anggota polis Pulau Pinang direman kes terima rasuah

1 Komen

  1. Pepatah sudah lama ada mengatakan kalau sudah berperangai seperti anjing yg biasa makan najis, kalau tak makan pun dia tetap menghidu. Kalau sudah tangan mencincang, bahu kena lah memikulnya

Comments are closed.