Lima anggota polis Pulau Pinang ditahan direman bagi membantu siasatan dipercayai menerima rasuah membabitkan kes narkotik di Mahkamah George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut direman selama empat hari bagi membantu siasatan meminta rasuah RM2,500 bagi menyelesaikan kes berkaitan narkotik.

Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek berusia 30 tahun itu bermula hari ini sehingga 16 Julai ini.

Suspek diwakili peguam Md Yusuf Md Idris.

Anggota berpangkat sarjan (kanan) dari Bahagian Narkotik IPD Timur Laut antara direman SPRM bagi bantu siasatan.

Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Timur Laut itu dikatakan meminta rasuah RM2,500 daripada seorang individu sebagai balasan untuk menyelesaikan kes ujian saringan air kencing adik individu berkenaan.

Suspek selaku pengawai penyiasat kes meminta balasan itu ketika berjumpa dengan individu berkenaan pada Selasa lalu kira-kira jam 4.30 petang.

Lanjutan daripada itu, suspek ditahan bersama wang perangkap oleh SPRM semalam, menerusi Operasi Perangkap.

Sementara itu, empat lagi anggota berpangkat koperal dan lans koperal direman lima hari di mahkamah sama selepas dipercayai meminta rasuah RM1,000 daripada seorang lelaki agar tiada tindakan diambil berhubung rekod kesalahan jenayah lampaunya berkaitan dadah.

Empat anggota (dari kiri) berpangkat koperal dan lans koperal dari Balai Polis Sungai Bakap direman bantu siasatan.

Mereka terdiri daripada koperal berusia 31 tahun manakala tiga lagi lans koperal masing-masing berusia 26, 30 dan 33 tahun.

Nur Melati Diana membenarkan kesemua suspek yang bertugas di Balai Polis Sungai Bakap itu direman bermula hari ini sehingga 17 Julai depan.

Kesemua anggota berkenaan dikatakan menahan suspek di parkir kereta sebuah Pangsapuri di Sungai Bakap pada 3 Julai lalu.

Susulan itu, mereka meminta wang rasuah RM1,000 agar tiada tindakan diambil berhubung rekod lampau suspek berkaitan saringan air kencing positif dadah.

Difahamkan, anggota berkenaan bersetuju menerima wang rasuah itu semalam sebelum mereka ditahan SPRM bersama wang perangkap itu.

Kedua- dua kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di mahkamah jam 9.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Memang tak boleh simpan dah pegawai yg berperangai bagai yg biasa makan najis..tak pun sekali pun dia tetap menghidu juga. Bersihkan PDRM dari manusia begini..masih ramai rakyat yg memerlukan pekerjaan.

  2. Operasib Perangkap = Sting Operation adalah suatu kaedah pendekatan menguji seseorang pekerja atau pegawai penjawat awam.

Comments are closed.