Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap ketika hdir ke Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Ahli Pas yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan dipecat daripada parti itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana senarai calon Perikatan Nasional (PN) telah diputuskan pimpinan tertinggi parti gabungan itu.

“Kalau (calon) Bebas, pecat gugur jadi ahli. Nama sudah dihantar ke pucuk pimpinan dan sudah tertera.

“Keputusan kena patuh, kalau tak kita pecat terus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Townhall Bicara  & Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di i-City Convention Centre, di sini, malam ini.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menampilkan dua tokoh itu sebagai panel pada program tersebut.

Abdul Hadi diminta mengulas kenyataan Dewan Pemuda Pas Tasek Gelugor yang mendesak Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau supaya berundur dan tidak berangan-angan bertanding di kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor pada PRN Pulau Pinang, 12 Ogos ini.

Naib Ketua Pemudanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, memberi amaran jika Dominic masih berkeras bertanding di kerusi berkenaan, pihaknya bersama seluruh jentera akan menggerakkan perarakan besar-besaran calon Bebas di Telok Ayer Tawar dan Permatang Berangan pada penamaan calon, Sabtu ini.

Terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tasek Gelugor, iaitu Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar.

PN yang dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan akan mengumumkan calon mereka bagi PRN di enam negeri pada esok dan lusa.

Pada 22 Jun lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan gabungan itu sudah memuktamadkan rundingan kerusi di semua 245 kerusi DUN yang akan ditandingi, dengan Bersatu akan bertanding di 83 kerusi, manakala Pas di 126 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast