PULAPOT
Mohamad Hasan (empat dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Kem dan RKAT PULAPOT dan ARW di Si Rusa, Port Dickson, hari ini.

PORT DICKSON – Projek pembinaan kem dan rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) bagi Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) dan Army Red Warrior (ARW) di Mukim Si Rusa di sini perlu mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar di kawasan itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kehijauan dan kontur muka bumi di kawasan bekas hutan simpan seluas 60 ekar itu hendaklah dikekalkan.

“Akhirnya nanti penghuni di sini akan hidup dalam suasana kem yang berada dalam taman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Shahrazat Ahmad.

Kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa yang bakal dibina di kawasan tersebut antara lain akan melibatkan pembinaan Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, dewan serbaguna, bilik latihan, bilik penginapan, padang kawad, sirkit menempuh halangan, lapang sasar pistol dan lain-lain kemudahan yang akan memberi manfaat kepada PULAPOT dan ARW.

Manakala bagi anggota tentera yang bakal bertugas di sini pula, sebanyak 213 unit RKAT pelbagai kelas bakal disediakan dengan kemudahan yang lengkap seperti kompleks komuniti, surau, sekolah rendah agama, tadika, taska, rumah BAKAT dan gelanggang sukan.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, projek yang menelan kos kira-kira RM232.9 juta itu mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan.

Beliau memberitahu, setelah projek tersebut disiapkan, projek Satu Anggota Satu Rumah (Sasar) akan dibangunkan di tapak PULAPOT di Kem Segenting serta kem Wardieburn di Kuala Lumpur.

Mohamad menambah, sebanyak 7,250 unit rumah akan dibangunkan di bawah projek tersebut untuk kemudahan anggota tentera, veteran dan kakitagan awam Kementerian Pertahanan.

“Kalau ramai yang memohon kita akan buat cabutan undi mengikut kuota iaitu 80 peratus anggota tentera, 15 peratus veteran dan selebihnya lima peratus kakitangan awam,” jelasnya.

Sementara itu, berhubung insiden beberapa anggota tentera disyaki didera anggota senior di sebuah kem di Sungai Petani, Kedah, Mohamad berkata, beliau masih menunggu laporan.

“Jika laporan ini serius, sebelum ini ada anggota dibuang atau digantung kerja. Kita tunggu dulu laporan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut memaklumkan, beliau masih lagi menunggu laporan siasatan dalaman Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung insiden letupan yang mengorbankan dua anggota semasa latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, bulan lalu.

Menurut beliau, siasatan tersebut mengambil masa kerana ia memerlukan penelitian khususnya oleh pakar bahan letupan.

“Bukan untuk salahkan sesiapa, kita tak mahu perkara sama berulang lagi,” jelasnya. – MalaysiaGazette