KUALA LUMPUR – Seorang wanita dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kedai serbaneka di Jalan Yusof Shahbudin 28, Taman Sentosa, di Klang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian pada kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan kerosakkan pada pintu masuk kedai serbaneka 99 Speedmart.

“Semasa pihak polis tiba di tempat kejadian didapati kereta yang terlibat telah beredar dari lokasi kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, kereta itu dipandu seorang wanita berbangsa Cina dipercayai tertekan pedal minyak dan hilang kawalan.

“Kemudian kereta yang dipandu mangsa terus meluru ke depan lalu melanggar pintu masuk kedai tersebut. Namun dalam kejadian itu tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang mengesan kenderaan dan pemandu terlibat yang masih belum membuat laporan kemalangan setakat ini.

Susulan itu, Hoong Fong meninta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan atau menghubungi talian 03-33722222.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan sebuah kereta terperosok di pintu depan kedai serbaneka tersebut. – MalaysiaGazette