SEREMBAN – Ikon Belia Madani Negeri Sembilan, Iswan Ishak tidak akan bertanding sebagai calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah.
Jawatankuasa Pilihan Raya MUDA memaklumkan, setelah berbincang, beliau membuat keputusan tersebut atas sebab-sebab peribadi.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada saudara Iswan atas kerjasama yang diberikan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan penarikan diri Iswan itu, MUDA kini hanya mempunyai seorang calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan iaitu Ahmad Qusyairi Abdull Rahim yang bakal bertanding di kerusi DUN Temiang.
Sebelum ini, pencalonan Iswan mencetuskan kontroversi apabila rakaman video beliau yang dikatakan mempersendakan orang kurang upaya (OKU) kembali tular.
MUDA juga tidak menyatakan sama ada calon lain akan dinamakan untuk menggantikan Iswan. – MalaysiaGazette