SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas tawaran Perikatan Nasional (PN) yang menawarkan untuk menangani isu rakyat dan kos sara hidup di negeri berkenaan.
Katanya, PN tidak berhak untuk menyuarakan tawaran berkenaan apabila gagal melakukannya ketika menjadi Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya Amirudin berkata, Kerajaan Negeri Selangor menerusi program yang diadakan mampu membantu rakyat di negeri itu.
“Kos sara hidup sebenarnya kita telah tangani dengam Program Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang mereka gagal lakukan ketika menjadi Kerajaan Persekutuan ketika mempunyai kebolehan melakukannya.
“Sekarang ini bekalan dan harga ayam kembali stabil. Dalam tujuh bulan dengan usaha keras Allahyarham Datuk Aeri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) jadi saya percaya mereka tidak ada moral bercakap tentang harga barang kerana ketika mereka jadi kerajaan mereka gagal mengawal harga barang yang mencengkam berbanding sekarang,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Penyerahan Semula Kereta Rasmi Kerajaan Negeri oleh para exco.
Semalam Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan kepada calon gabungan itu agar memperjuangkan isu yang dihadapi rakyat Selangor, khususnya dalam membasmi kemiskinan.
Katanya, isu tersebut menjadi pesanan utama dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada calon-calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Sementara itu Amirudin menyuarakan keyakinannya bahawa kerajaan negeri tersebut mampu mengekalkan pentadbiran kali ini.
“Kita pantau persediaan sebelum ini hampir setiap tiga bulan, sebelum hari penamaan calon pula setiap minggu kita lihat serangan yang dibuat dan kita pergiatkan penerangan.
“Sehingga kini saya masih yakin kita menang dengan majoriti dua per tiga di Selangor,” tambahnya. – MalaysiaGazette