SIK – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang menentang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan beliau sebagai calon ‘underdog’.
Menyifatkan pertembungan itu sebagai ‘David and Goliath’, Muhamad Khizri berkata, sekiranya menang, beliau akan dianggap sebagai wira yang menumbangkan ‘raksasa’ di kawasan tersebut.
“Beban itu bukan pada saya, kalau saya kalah itu perkara biasa tetapi kalau saya menang, rakyat Malaysia alan mengenali saya untuk tempoh lima tahun.
“Saya sebagai calon underdog, saya optimis peluang saya ada dan yakin saya akan memberikan cabaran pada Sanusi,” katanya kepada media selepas selesai menyerah borang pencalonannya, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kerusi DUN Jeneri ditandingi Muhamad Khizri dan penyandang kerusi tersebut, Sanusi.
Kerusi DUN Belantik turut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pas, Ahmad Sulaiman dan calon PH, Mazli Saipi.
Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, Sanusi memenangi kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 10,626 undi. – MalaysiaGazette