JEMPOL – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pagi tadi hanya mengalami kecederaan bengkak pada kaki kiri.
Pembantu kempennya, Mohd Nazir Md Yunus berkata, beliau kini ditempatkan di wad biasa Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.
“Keadaan beliau stabil dan hanya dimasukkan di wad biasa Hospital Jempol tanpa memerlukan sebarang pembedahan.
“Kemalangan pagi tadi berlaku ketika baru selesai mengadakan mesyuarat dengan jentera dan dalam perjalanan pulang ke inap desa di Felda Palong 2” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sementara itu, media dimaklumkan pihak hospital tidak membenarkan orang ramai melawat Zaidy kecuali ahli keluarga terdekat.
“Datuk memerlukan rehat yang secukupnya,” kata pegawai media menerusi kumpulan Whatsapp Pegawai Media dan Calon BN sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan Mohd Zaidy cedera dalam kemalangan di Jalan Pasir Besar-Palong pukul 3.25 pagi tadi. – MalaysiaGazette