KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani memutuskan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir yang melanda Nepal, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dengan Kerajaan Nepal bagi membolehkan pasukan itu digerakkan sesegera mungkin.

Kata beliau, Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.
“Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, seramai 91 rakyat Malaysia terdiri daripada 55 di Nepal dan 36 di China dilaporkan masih belum dapat dihubungi setakat jam 8 malam tadi susulan banjir yang melanda pada 26 Ogos lalu.
Wisma Putra berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di China dan Nepal, di samping menyemak silang maklumat dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti sebarang pertindihan dalam laporan yang diterima.
Wisma Putra turut menggesa media serta orang ramai untuk merujuk kepada angka rasmi yang dikeluarkan oleh kementerian dalam laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat situasi di Nepal dan China.
Menurut kementerian itu, angka berkenaan boleh berubah apabila hubungan berjaya diwujudkan dengan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi, serta apabila maklumat lanjut diterima daripada pihak berkuasa dan ahli keluarga.
“Kementerian memahami kebimbangan berhubung keterbatasan maklumat peribadi mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi yang boleh dikongsikan kepada umum,” menurutnya. – MalaysiaGazette
















