Kamarul Zaman di sidang media Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Lima buah kereta Lamborghini yang berkonvoi sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Senai Desaru kelmarin telah disita.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, keterangan semua pemandunya juga telah diambil.

Menurutnya, siasatan berkaitan kes itu akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Kita alu-alukan semua pihak datang ke Johor tetapi mereka perlu berdisiplin dan mengikut undang-undang jalan raya. Ini kerana setiap lokasi akan ada pihak memerhati.

“Jadi sebagai pengguna jalan raya, berhati-hatilah dan jangan lakukan perkara yang tidak elok kerana pasti ada pihak yang merakam dan menularkan perkara itu. Jadi, ikutlah undang-undang,” katanya pada sidang media hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri timbalannya,  Deputi Komisioner, M. Kumar dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.

Kamarul Zaman berkata, lima pemandu lelaki tersebut adalah  warganegara tempatan berusia antara 44 hingga 64 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabtu lalu, tular rakaman video berdurasi 71 saat menunjukkan beberapa buah kenderaan jenis Lamborghini memotong laluan secara berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru.

Kelima-lima pemandu tersebut telah dipanggil polis untuk memberikan keterangan di Ibupejabat Polis Daerah Kota Tinggi sebelum dibebaskan dengan jaminan.-MalaysiaGazette