SINTOK – Seramai 388 pelajar kalangan B40 pelbagai kaum dan bangsa dipilih menyertai Program SULUNG 2.0 Universiti Utara Malaysia (UUM) di mana melibatkan 188 pelajar baharu dan 200 adalah pelajar sedia ada.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, program itu membolehkan setiap pelajar dibiayai RM4,998 sepanjang enam semester pengajian mereka.
Menurut beliau, program itu terbuka untuk semua bidang pengajian peringkat ijazah selepas penilaian dan pengesahan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui semakan lapangan.

“Program SULUNG 2.0 ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam keluarga B40 tetapi kurang berkemampuan.
“Antara manfaat yang diterima mereka laluan Kemasukan Khas B40, pengecualian yuran pengajian dan pembangunan insaniah serta sokongan akademik dan kaunseling,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke UUM dan merasmikan Program SULUNG 2.0 peringkat universiti itu di sini hari ini.

Sementara itu, Program SULUNG itu juga merupakan sumbangan tanggungjawab sosial korporat UUM kepada masyarakat di mana anak syarikat UUM iaitu Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) menyerahkan hasil royalti RM1.5 juta kepada university untuk membiayai program tersebut.
Pada masa sama, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) melalui Pengarahnya, Datuk Profesor Dr. Nasrudin Mohammed menyerahkan ‘mock cheque’ berjumlah RM109,000 kepada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UUM.
Ia bagi menganjurkan Program Kepimpinan Inovasi dan Pengkomersialan Harta Intelek (InnoCoL) untuk memberi pemahaman dalam aspek strategik dan pengoperasian aktiviti inovasi dan pengkomersialan harta intelek universiti.
Pada majlis sama, Khaled turut merasmikan Pusat Mahasiswa Istimewa atau dikenali sebagai Independent Living Centre (ILC) PERMAI.
Pusat itu dibangunkan di bawah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Mahasiswa Istimewa Kebangsaan (PERMAI) telah dipertanggungjawabkan mengelola salah sebuah ILC yang dinamakan ILC PERMAI UUM dan la merupakan satu-satunya ILC yang berada dalam kampus Universiti. – MalaysiaGazette
















