KUALA LUMPUR – Penganjur Festival Good Vibes (GVF) 2023, Future Sound Asia sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terjadap kumpulan muzik yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, The 1975.

Pengarah Hiburan Future Sound Asia, Wan Alman Ariffin berkata, syarikat berkenaan kini sedang merujuk kepada penasihat undang-undang bagi mendakwa The 1975 atas perlakuan biadap vokalis, Matty Healy di pentas sehingga mengakibatkan festival berkenaan terpaksa dihentikan.

“Ya, kami ada penasihat undang-undang dan sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap The 1975,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Festival Good Vibes (GVF) 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang dibatalkan serta merta baru-baru ini selepas Matty mempertikai undang-undang lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) di Malaysia.

Beliau kemudian mencium anggota kumpulannya yang juga pemain gitar bes, Ross McDonalds di atas pentas.

Sambil memegang botol arak, Healy turut meludah dan melakukan aksi kurang sopan di pentas festival berkenaan.

Pembatalan serta merta itu diarahkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.-MalaysiaGazette