SIAPAKAH giant killer di Selangor dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 DUN Selangor pada 12 Ogos ini?
Ada yang kata sudah tentu Juwairiyah Zulkifli iaitu calon PH bagi Hulu Kelang dan ada yang kata Mohd Hanif Jamaluddin calon PN DUN Sungai Tua.
Kedua mereka akan bertanding melawan calon yang bukan calang-calang orang, iaitu Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali di Hulu Kelang dan Amirudin Shari Pengerusi PH Selangor di Sungai Tua.
Jika Juwairiyah dari PKR dan Mohd Hanif dari Pas dapat mengalahkan lawan masing-masing, mereka akan dinobatkan sebagai giant killer.
Juwairiyah pada penggal PRU14 menang di kerusi DUN Bukit Melawati, tetapi dipindahkan saat akhir ke Hulu Kelang untuk berlawan dengan bekas bosnya, Mohamed Azmin yang menyertai parti Bersatu.
Mohd Hanif pula calon muka baru Pas yang diletakkan di DUN Sungai Tua untuk melawan penyandangnya, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor.
Dapatkah Mohd Hanif mengalahkan Amirudin, yang membuat kejutan mengalahkan Mohamed Azmin di kerusi Parlimen Gombak pada PRU15 November tahun lalu?
Mengikut adat pertandingan pilihan raya yang lepas-lepas, kalau Parlimen dimenangi parti A, makanya kerusi DUN dalam Parlimen itu juga akan dimenangi calon dari parti A.
Amat jarang berlaku kerusi Parlimen dimenangi parti A, tetapi kerusi DUN dibolot oleh parti B. Kalau ada pun jumlahnya sedikit-sedikit dan kadang-kadang saja, bukan banyak-banyak.
Jadi, solusinya kerusi DUN Hulu Kelang dan Sungai Tua yang ditandingi si giant ialah dua-duanya berada dalam Parlimen Gombak yang dimenangi Amirudin. Tinggal lagi dapatkah Juwairiyah dan Mohd Hanif menjadi killer?
Ada yang tanya Bawah Kolong (BK), anda sebagai pengamal media yang dekat dengan situasi politik, takkan tak tahu siapa menang antara dua DUN itu.
BK kata, kalau situasi politik zaman 70-an, 80-an, 90-an serta awal 2000 bolehlah buat ramalan, tetapi politik masuk era suku tahun 2000 ni sukar nak ramal kerana keadaannya boleh berubah dalam sekelip mata.
Tambahan pula, PRN kali ini turut melibatkan Undi-18, yang mereka terjemahkan kali pertama pada PRU15 yang lalu.
Parti mana yang mereka pilih telah dibentangkan di depan mata kita pada tengah malam 20 November 2022, dan keputusan itu, bagi yang bijak pandai menilai, akan tahulah jawapannya pada PRN 12 Ogos ini.
Memang sukar dan kusut nak buat pecahan mengikut saluran undi masing-masing, tetapi kalau kita ambil secara umum, itulah jawapannya.
Jadi, mana-mana parti yang bertanding satu lawan satu pada Sabtu minggu depan jangan excited sangat sebab pengalaman 22 bulan PH, 19 bulan Abah dan 14 bulan Abang Long akan menjadi penilaian rakyat.
Tahu tak? Rakyat tak pernah lupa apa yang berlaku dan dilakukan kerajaan-kerajaan terdahulu. Mereka simpan kemas dalam hati dan diterjemahkan pada pilihanraya. Walaupun lima tahun sekali, undi mereka bakal memberi perubahan.
Bersandarkan kepada situasi ini, BK sama seperti penganalisis politik yang bebas, tidak dapat membuat ramalan negeri mana dimenangi PN dan negeri mana dimenangi PH.
Tetapi, kalau kita tanya pemimpin mereka, sudah barang tentu enam negeri mereka yang punyai. Atas dasar apa mereka buat penilaian itu, BK pun tak tahu. Tapi mungkin jawapan mereka sekadar nak menyedapkan hati yang gundah gulana.
Untuk dapatkan keputusan yang tepat, negeri mana dimenangi PN dan PH, sama-samalah kita tunggu malam 12 Ogos ini. Tak lama dah, berbaki lagi 11 hari saja lagi.
Namun, BK harap keputusan ini dapat diumumkan lebih awal iaitu paling lewat sehingga jam 10 malam, tidak selewat sampai tahap dini hari menunggu keputusan penuh PRU15 yang lalu.
Berbalik kepada giant killer tadi. BK kata Azmin bukan calang lawan kerana beliau dua penggal menang di Gombak, sebelum dikalahkan Amirudin. Begitu juga Amirudin dua penggal menang di Sungai Tua tanpa pernah dikalahkan calon lawan.
Juwairiyah pula satu penggal menang, tetapi di DUN Bukit Melawati, bukan di Hulu Kelang. Kerusi ini agak baru bagi dia, tetapi tidak bagi Azmin, walaupun dikatakan calon baru.
Azmin pernah menang dua penggal di Hulu Kelang pada PRU 1999, malah dia mendakwa, kedua ibu bapanya tinggal di Hulu Kelang. Berbeza dengan Juwairiyah. Dia bukan anak tempatan Hulu Kelang, tapi mendakwa pernah tinggal di situ sebelum ini.
Mohd Hanif entah dari mana. Dia tak kisah pun soal anak tempatan atau pendatang. Yang penting, dia kena kerja kuat untuk kalahkan Amirudin, sekali gus merebut anugerah giant killer.
Juwairiyah pun memasang angan-angan yang sama. Dia merasakan dapat mengalahkan Azmin. Kalau Amirudin yang dituduh oleh Sanusi sebagai tak cukup inci boleh kalahkah orang kuat PN itu, masakan dia tak boleh.
Bak kata orang tua-tua, tangan yang mengayun buai boleh menggegarkan dunia, tetapi masalahnya Juwairiyah belum kahwin, tangannya belum ada pengalaman mengayun buai.
Maka, kata-kata yang sesuai untuk Juwairiyah ialah, pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Bukit Melawati selama lima tahun menjadi peluru baginya untuk mengalahkan Azmin.
Kepada semua mereka, BK ucapkan selamat bertanding dan bersedialah menerima keputusan. Menang atau kalah. – MalaysiaGazette