Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 50,000 komputer riba yang diperuntukkan kerajaan kepada sekolah dan institusi pendidikan menerusi Belanjawan 2023 tepat pada masanya dan selaras dengan keperluan semasa.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkata,  inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu juga mampu mengisi tuntutan pembelajaran dan pengajaran.

Jelas beliau, komputer riba kini menjadi peralatan teknologi yang diperlukan oleh para guru untuk menyediakan bahan pengajaran, dalam masa yang sama melengkapkan tugasan harian berkaitan data-data tertentu.

Aminuddin Awang

“Kita sambut baik, kita mengalu-alukannya sebagai langkah permulaan kerajaan.

“Keperluan ini sudah diperjuangkan oleh NUTP sebelum ini. Tugas guru ini bukan sahaja perlu menyediakan bahan pengajaran menggunakan komputer riba, tetapi ada juga tugasan lain yang memerlukannya.

“Kalau dilihat sebelum ini majoriti para guru menggunakan komputer riba sendiri, itu bagi yang mampu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya, komputer riba bagi kegunaan pelajar juga akan meningkatkan minat mereka untuk belajar terutama bagi subjek yang dilihat sesuai dengan peralatan teknologi tersebut.

Lagipun, penggunaan komputer riba dalam kalangan pelajar pada masa sekarang bukan lagi satu kehendak, sebaliknya keperluan asas.

Dalam pada itu, Aminuddin mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penambahan bilangan pemberian komputer riba untuk semua guru dan sekolah yang mempunyai ramai pelajar daripada kategori B40 pada masa akan datang.

Katanya lagi, kerajaan juga boleh mempertimbangkan usaha pemberian rebat kepada para guru sekurang-kurangnya RM1,000 untuk membeli komputer riba sendiri.

“Pelajar B40 sebenarnya ramai. Jadi inisiatif kerajaan ini mungkin boleh dijadikan sebagai permulaan. Boleh ditambah dan diperluaskan jumlahnya,” katanya lagi.

Senada dengan Aminuddin, Pakar Pendidikan Dr Anuar Ahmad berpendapat inisiatif kerajaan sebagai searah dengan usaha pendigitalan dalam pendidikan.

“Jadi dari segi dasar kita berterima kasih kepada kerajaan kerana kesediaan kerajaan melihat isu pendigitalan dalam pendidikan sebagai sesuatu yang penting.

“Dengan adanya komputer riba sekurang-kurangnya dapat membantu dalam menyediakan aktiviti berasaskan pendigitalan pendidikan.

“Dengan kaedah pendigitalan amalan pengajaran dan pembelajaran akan berubah tidak lagi hanya menyalin nota tetapi proses pelajaran menjadi kepada penyelesaian masalah,” katanya.

Dr. Anuar Ahmad

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lagi, langkah ini juga diharap akan menjadi satu langkah permulaan kerajaan dalam memastikan akses jaringan internet di setiap sekolah berada di tahap optimum.

Bagaimanapun, beliau turut berharap kerajaan menyediakan latihan perkhidmatan secara pendigitalan kepada para guru bagi memudahkan proses pendigitalan dalam pendidikan berjalan dengan lancar.

“Kita berharap bukan sahaja komputer riba disediakan tetapi lebih banyak latihan dalam perkhidmatan yang mana kemahiran guru-guru dapat ditingkatkan dalam penggunaan komputer, pendigitalan pendidikan dan integrasi pengajaran. Ada komputer dan ada juga latihan khususnya untuk guru yang lebih senior,” ujar Anuar.

Beliau turut menyuarakan harapan supaya kerajaan mengkaji usaha menurunkan harga komputer riba dalam pasaran tempatan.

Jelas Anuar, strategi berkenaan berkemungkinan akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam masa yang sama membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli komputer riba kepada anak-anak termasuk dalam kalangan guru-guru.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast