GEORGE TOWN – Bayi perempuan berusia 40 hari mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas dihempas ke lantai kediaman mereka oleh pak ciknya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang di sini, semalam.

Manakala kakak kepada bayi itu yang berusia tiga tahun mengalami kecederaan di mulut serta patah kaki kiri akibat dicampak ke bawah flat dari kediaman mereka di tingkat satu dalam kejadian jam 3.40 petang itu.

Difahamkan suspek berusia 29 tahun itu mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mencederakan kedua-dua mangsa tersebut.

Kanak-kanak berusia tiga tahun dicampak ke bawah dari kediaman mereka di tingkat satu.

Menurut ahli keluarga mangsa yang ingin dikenali sebagai Taiyoob, 31, mereka sekeluarga hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan ibunya meminta pertolongan sebelum mendapati adik lelaki mereka berada dalam keadaan tanpa seurat benang di badan serta berlumuran darah.

Katanya, suspek turut mendakwa terdengar bunyi bisikan sebelum mencederakan kedua-dua mangsa tersebut.

“Kejadian berlaku dengan cepat, saya meminta bantuan orang terdekat dan cuba tenangkan dia (suspek) manakala ahli keluarga yang lain menyelamatkan anak kakak saya sebelum menghantar mereka ke hospital untuk rawatan lanjut.

Taiyoob.

“Apa yang boleh saya katakan, mangsa dan suspek adalah ahli keluarga kami sendiri dan dia (suspek) sedang menerima rawatan tradisional kerana mempunyai masalah kesihatan sejak dua bulan lalu.

“Saya harap semua pihak faham keadaan dan hormati pendirian keluarga untuk tidak mengulas lanjut dan kita juga harap mana-mana pihak yang viralkan insiden itu tolong padam demi menjaga privasi keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, awal pagi tadi.

MalaysiaGazette difahamkan bayi itu dan kakaknya berada di kediaman nenek mereka susulan ibunya masih dalam tempoh berpantang.

Dalam pada itu, jiran berhampiran yang enggan dikenali berkata, mereka terkejut dengan kejadian tersebut memandangkan suspek merupakan anak yang baik dan disenangi jiran tetangga.

Pegawai penyiasat kes sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Depa (keluarga suspek) mempunyai enam beradik dan dia merupakan anak keempat. Sejak kami tinggal di sini tak pernah lihat lelaki itu melakukan sebarang kekecohan malah dia turut dikenali dalam kalangan orang masjid serta surau.

“Semua yang berlaku hari ini memang amat mengejutkan dan kami harap keluarga mereka tabah menerima dugaan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Soffian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya.

Difahamkan, ketiga-tiga individu termasuk suspek kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette