SEREMBAN – Nurul Izzah Anwar mendedahkan dia terpaksa menyembunyikan identiti sebagai anak kepada Timbalan Perdana Menteri sewaktu berada di sekolah menengah dahulu.
Anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, tindakan itu dilakukan bagi memastikan beliau hanya mendapat rakan sekolah sejati bukan kerana pangkat atau kuasa bapanya.
“Semasa ayah saya jadi TPM, saya akan lakukan apa sahaja supaya kawan-kawan sekolah menengah yang baru saya kenali tidak tahu identiti saya.
“Ini kerana agak susah untuk kita dapat persahabatan sejati sekiranya hanya melihat pangkat dan kedudukan,” kata Naib Presiden PKR itu berkata demikian ketika menjadi panelis bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada program ‘Wanita Question Time’ di sebuah hotel di sini malam tadi.
Bagaimanapun situasi berubah apabila bapanya berhadapan dengan fitnah sehingga menjadia tahanan politik pada 1998.
“Tapi saat-saat yang saya berasa bangga menjadi anak Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah semasa beliau dilemparkan dengan fitnah dan menjadi tahanan politik (bermula 1998) dan ketika itu baharulah saya mahu satu dunia tahu saya adalah anaknya,” katanya.
Nurul Izzah selepas itu mula berjuang dalam politik sehingga mendapat jolokan Puteri Reformasi dan menjadi beberapa penggal menjadi ahli Parlimen mewakili Lembah Pantai dan Permatang Pauh. – MalaysiaGazette