logo gari
Gambar hiasan.

IPOH – Tempoh tahanan reman seorang wanita dan teman lelakinya yang dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di Taman Panglima, Assam Kumbang di Taiping minggu lalu, disambung enam hari lagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Razlam Ab Hamid berkata, permohonan untuk menyambung reman terhadap kedua-dua suspek dibuat pagi tadi apabila tempoh tahanan reman berakhir hari ini.

“Kedua-duanya disambung reman bermula esok (7 Ogos) hingga 12 Ogos. Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

31 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah hasil maklumat orang awam dan hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur penderaan terhadap mangsa terbabit.

Polis kemudiannya menahan ibu mangsa dan teman lelaki yang masing-masing berumur 36 tahun dan 30-an yang turut tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Bernama