Sheila Sharon Steven Kumar. Foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang inspektor wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’, akan mengemukakan bantahan awal terhadap tiga pertuduhan dihadapinya, termasuk mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal.

Peguam M. Manoharan yang mewakili Sheila Sharon Steven Kumar, 35, memaklumkan demikian semasa sebutan kes itu di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini, di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Beliau berkata, pihaknya akan memfailkan bantahan awal itu, kerana ia melibatkan isu berkaitan Perlembagaan selain mendakwa pertuduhan dihadapi anak guamnya tidak berasas dan remeh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes ini kepada pihak pembelaan kecuali rakaman video.

Sheila didakwa mengugut M. Silverkoomarie, 69, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada wanita warga emas di No 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini, pada 12 tengah hari, 15 Jun lepas, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai polis wanita itu juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki P. Taneswaran, 31, dengan berkata “you tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu”, di lokasi dan tarikh sama pada 1 tengah hari, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Beghwant Singh turut memaklumkan, pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan.

Di mahkamah itu, Sheila berdepan pertuduhan menyebut berkenaan pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak, dengan maksud untuk mengaibkan kehormatannya di lokasi dan tarikh sama pada 1.25 tengah hari, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Ketika ditemui pemberita, Sheila berkata beliau mahu berkhidmat untuk masyarakat dan ingin kembali bertugas sebagai pegawai penyiasat di Bukit Aman, bagi membanteras kejahatan dan kes jenayah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast