Calon Barisan Nasional N.03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin

SUNGAI PANJANG – Penantian hampir 10 tahun kini menjadi kenyataan apabila kawasan Sungai Panjang di sini bakal menerima perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pertama dalam masa terdekat.

Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, mesin layan diri itu bakal ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di mana pemasangannya ditanggung sepenuhnya di bawah agensi berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang telah mengumumkan kelulusan segera sebanyak RM50,000 untuk menyiapkan prasarana bagi menempatkan mesin ATM tersebut.

“Prasarana tersebut tidak termasuk di dalam pakej penyediaan mesin ATM oleh pihak Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kebetulan kita ada MRSM di sini dan telahpun dikenal pasti bahawa ini adalah tempat dan lokasi paling selamat untuk menempatkan mesin ATM.

“Insya-Allah selepas ini penduduk Sungai Panjang khususnya Parti 16 akan mendapat perkhidmatan mesin ATM yang lebih dekat dan memudahkan urusan seharian penduduk,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu Mohd Imran mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai permohonan mesin ATM dengan pihak BSN, MARA dan MRSM Sungai Besar di Terminal Rakyat Merbau Berdarah hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Saipolyazan Mat Yusop.

Tambah Mohd Imran, perkhidmatan mesin ATM itu menjadi satu keperluan mendesak susulan penduduk di kawasan itu terpaksa melakukan perjalanan sehingga 20 kilometer untuk mengeluarkan wang tunai.

“Kebanyakan masyarakat di sini akan pergi ke pekan Sungai Besar yang jaraknya lebih dari 15 kilometer (km) hingga 20 km dari sini untuk mendapatkan perkhidmatan ATM.

“Kita sedia maklum, dalam tempoh beberapa tahun lalu kita telah memulakan inisiatif dengan kerjasama BSN yang meletakkan ejen-ejen mereka di kedai runcit.

“Namun kali ini kita mendapat kerjasama yang lebih baik dengan pihak MRSM Ulul Albab Sungai Panjang,” katanya.

Jelasnya, masalah kemudahan mesin ATM telah disuarakan lima hingga 10 tahun lepas dengan lima tahun pertama pengeluaran wang tunai melalui kedai runcit dan pengusaha sebagai ejen BSN.

“Hari ini kita dapat meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan tersebut dengan menyediakan mesin ATM. Penduduk tak perlu berulang-alik ke Sungai Besar.

“Ia boleh meningkatkan keselamatan supaya penduduk di sini tak perlu simpan tunai yang banyak di rumah. Mereka boleh keluarkan wang tunai yang perlu sahaja untuk kegunaan harian dan mingguan.

“Malah adik-adik kita di MRSM tak perlu pergi jauh nak ke pekan Sungai Besar mahu pun Sabak Bernam, tempat ini paling dekat dan mudah untuk mereka berurusan dari segi transaksi wang tunai,” katanya.

Mohd Imran juga menjangkakan dengan wujudnya perkhidmatan ATM, taraf ekonomi di kawasan itu bakal melonjak kepada satu tahap yang lebih baik daripada sekarang.

“Sudah pasti akan membantu daripada segi pengurusan kewangan setempat walaupun kita ke arah komuniti tanpa tunai, tetapi ada lagi keperluan di kawasan ini memerlukan pembayaran secara tunai.

“Kita juga boleh meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat supaya perlu ada akaun, kebetulan BSN mesin ATM itu boleh melaksanakan pelbagai produk lain seperti Sijil Simpanan Premium, buka akaun dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette