Ayob Khan Mydin Pitchay

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada ahli politik yang sedang berkempen supaya tidak memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap parti yang menyentuh isi-isu berkenaan dalam tempoh kempen yang berbaki kurang seminggu.

“Harap kedua-dua pihak jangan eksploitasi, jangan mainkan isu-isu 3R dalam kempen. Kalau ada kita akan ambil tindakan tegas,” katanya ketika sidang media di pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berkata, polis Selangor tidak menerima laporan tentang pihak yang memainkan isu berkenaan di negeri tersebut.

“Untuk selangor, setakat ini tiada. Mungkin kes yang lepas-lepas kita dah beri amaran, jadi saya rasa dah tiada,” tambah beliau.

Sementara itu katanya, setakat 6 Ogos, sebanyak 78 kertas siasatan dibuka di seluruh negara berkaitan salah laku kempen.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kertas siasatan melibatkan negeri Selangor.

Seramai 8,000 tentera dan pasangan, manakala 18,557 polis dan pasangan terlibat dalam undi awal di Selangor. – MalaysiaGazette